Thursday, September 16, 2010

Sebuah Harapan

Tanpa disedari, usia telah beberapa tahun melepasi setengah abad. Tambahan pula penyakit diabetes kronik semakin meragam. Anak anak sudah membesar dan sebahagiannya sudah masuki usia berumahtangga. Sedangkan dalam usia sebegini tiada satu pun sumbangan bermakna kepada perjuangan Islam telah dibuat. Hanya Allah saja yang tahu betapa resahnya hati memikirkan hal ini.

Terkenang di zaman muda dahulu, lebih dua puluh lima tahun yang lalu, zaman kemunculan Syeikh Rusila, saya bersama empat orang kawan-kawan telah mengadakan sembang mingguan berkaitan Islam. Pada ketika itu di kalangan kawan-kawan PAS, kewujudan usrah amat menggalakkan laksana cendawan tumbuh di musim hujan. Sekejap selepas itu datang musim kemarau, banyak usrah usrah yang terkulai layu dan akhirnya terus mati. Memang ada usaha usaha untuk menghidupkannya kembali, tetapi menghidupkan yang telah mati bukannya senang.

Alhamdulllah, program sembang kami yang anggota tetapnya seramai lima orang dapat bertahan selama lebih lima tahun. Terkadang ada juga orang lain yang sertainya, sengaja kami jemput untuk mendengar pandangan kedua. Komen biasa yang kami terima ialah kumpulan kami bukan berbentuk usrah. Memang pun kami bukan berusrah tetapi bersembang. Bagi kami berusrah sudah tentu ada prokons. Berusrah akan menjadikan kita ditarbiah oleh seorang murobbi secara formal jika usrah tersebut berjaya. Ianya sudah tentu merupakan usaha membentuk kita kearah satu fikrah tertentu, syakhsiah tertentu, wala' tertentu, jamaah tertentu dan lain lain tertentu. Ada kata ianya proses indoktrinasi. Ini menjadikan kita tiada pilihan dalam memahami Islam. Semuanya mengikut acuan. Dan ini bukan pilihan kami walaupun ada yang menawarkan khidmat sebagai naqib secara percuma!

Sembang kami telah didahului oleh sembang sembang selepas mendengar kuliah jumaat di masjid Rusila. Kemudian diikuti oleh sembang sembang di kaki lima di bandar apabila ada kesempatan bertemu. Akhirnya barulah parogram sembang mingguan secara tetap diadakan.

Kami telah putuskan untuk bersembang tentang pemikiran Imam Maududi dan tulisan tulisan tokoh tokoh Ikhwan -memandangkan buku buku mereka yang membanjiri pasaran- bagi mencari jawapan tentang pemikiran yang sohih tentang Islam, antaranya bagaimana memahami dan menghayati kewujudan Allah, implikasinya dalam kehidupan dan harokah hidup, apakah pandangan Islam terhadap kehidupan, ideologi ideologi, bagaimana bentuk sebenarnya perjuangan Islam, jamaah mana sepatutnya disertai serta lain lain perkara asas yang wajib diketahui oleh seorang muslim. Berdasarkan tajuk tajuk inilah ada suara di luar kalangan kami menyarankan keperluan kami mendapatkan seorang naqib atau pembimbing agar kami tidak terseleweng atau tidak mendapat jawapan dari apa yang kami cari. Jawapan menolak mendapat pembimbing tak pernah kami perjelaskan, bimbang melukai hati orang lain. Kami berpendapat pembimbing pembimbing dari perbagai kumpulan dakwah yang ada pada masa itu tidak memenuhi kehendak kami. Berdasarkan pengalaman yang lepas, eloklah kami mencari sendiri apa yang kami ingin cari. Walaupun kami hanya memiliki SPM, insyakAllah kami bersedia berusaha memahami Islam sebagaimana yang yang diungkapkan oleh kalimah "Islamiyyah".

Selepas lebih lima tahun bersembang, semua anggota tetap kami terpaksa menghadapi berbagai komitmen berkeluarga, pekerjaan dan tempat yang telah berjauhan. Akhirnya program tetap kami telah dibubarkan. Namun kami berpuashati dengan hasilnya. InsyakAllah, dalam tulisan tulisan mendatang, saya akan menulis fikrah fikrah yang terhasil dari program tersebut dan ditulis tanpa mengikut urutan tarikh sembang.

Sebenarnya coretan ini adalah untuk anak anak saya sendiri, bukan untuk orang lain. Harapan saya, dalam masa terdekat, dengan membaca tulisan tulisan ini, anak anak akan memahami Islam sebagaimana kami yakin sepatutnya difahami. Seterusnya mereka akan menyertai sebuah jamaah yang mereka yakin sebagaimana kami yakin. Dengan ini kami mengharapkan anak anak kami menjadi orang orang yang solih yang akan sentiasa mendoakan kami. Sebagaimana kita fahami selain mujahidun, qoo'idun pun ada juga tempatnya di syurga, insyakAllah.

Thursday, April 24, 2008

Perkara-perkara asas dalam membina sebuah perjuangan

Sekapur Sireh

"Dakwah ini tidak layak kecuali bagi mereka yang menguasainya dengan seluruh aspek dan dimensinya"